GERAKAN FEMINISME -PINTU MASUK AGENDA LIBERAL

TAKRIFAN

Feminisma mengikut takrifan The New Encyclopedia Britannica ialah “ the belief, largely originating in the West, in the social, economy and political equality of the sexes, represented worldwide by various institutions committed to activity on behalf of women’s rights and interests” iaitu “ kepercayaan yang bersumberkan dari Barat, tentang kesamarataan gender dalam aspek social, ekonomi dan politik, dan kepercayaan ini diwakili oleh berbagai institusi yang komited ke arah memperjuangkan hak wanita dan kepentingan mereka”.

SEJARAH GERAKAN FEMINISME BARAT

Secara ringkas, gerakan feminisma muncul dari hakikat masyarakat Barat yang memandang rendah terhadap kedudukan wanita. Pakar sejarah Barat, Philip J Adler[1] mengatakan sehingga abad ke 17, wanita dianggap sebagai jelmaan syaitan, atau alat syaitan menggoda wanita.

Dalam kitab Bible, terdapat banyak ayat yang bersifat “sexist” dan memberikan pandangan rendah terhadap wanita[2]. Beberapa ayat dipetik dari Bible:

[ Sirach 42: 14 ] A man’s wickedness is better than a woman who does good and a disgraced woman who brings shame.

Kejahatan lelaki lebih baik dari kebajikan perempuan, dan perempuanlah yang mendatangkan   malu dan nista

[ Corinthians 14:34-35 ]  the women should keep silent in the churches. For they are not permitted to speak, but should be in submission, as the Law also says.  If there is anything they desire to learn, let them ask their husbands at home. For it is shameful for a woman to speak in church.

Perempuan harus tutup mulut di gereja, tiada hak untuknya bersuara dan bertanya dalam satu Jemaah. Jika harus bertanya tentang sesuatu yang belum difahami, dia harus bertanya kepada suaminya di rumah

[ Sirach 25: 24 ] Sin began with a woman, and because of her all of us die.

Permulaan dosa dari perempuan dan kerana dialah kita semua mesti mati

Pada abad pertengahan, gereja berperanan sebagai pusat kekuasaan dan politik yang menyebabkan wanita turut dipandang rendah dari sudut politik. Revolusi Perancis dalam tahun 1789 meledak atas dasar tidak puas hati rakyat kebanyakan ke atas kekuasaan gereja yang menindas. Perjuangan kebebasan atas dominasi gereja dan Raja juga memberi pengaruh besar kepada gerakan wanita ketika itu. Mereka memanfaatkan gerakan politik itu sebaik-baiknya.

Kronologi gerakan pembebasan wanita (Women’s Liberation) yang seterusnya melahirkan aliran Feminisma dapat dilihat disini:

1789
1789
•Revolusi Perancis bermula. Wanita Perancis ketika itu berjalan di pasar-pasar menuntut Raja mengawal harga barang dan menyediakan roti dirumah-rumah.
•Declaration of the Right of Man and Citizen yang berprinsipkan sekular, iaitu pemisahan agama dan negara diisytiharkan.
1791
1791
•Declaration Of The Right Of Women And The Female Citizen, diisytiharkan menyatakan bukan sahaja perempuan setaraf dengan lelaki, tetapi merupakan pasangan (partner) dalam seluruh bidang kehidupan.
1848
1848
•Lucretia Mont dan Elizabeth Cady Stanton (foto), tokoh pembebasan wanita Amerika mengetuai Konvensyen Hak-hak Wanita di Seneca Falls, USA. Konvensyen ini melahirkan deklarasi yang menuntuk reformasi hukum perkahwinan, perceraian, pewarisan harta dan anak. (http://www.greatamericandocuments.com/speeches/stanton-seneca-falls.html)
1895
1895
•Elizabeth Cady Stanton menerbitkan buku “The Women Bible” dimana setelah mengkaji seluruh teks bible yang berkenaan wanita, mengambil kesimpulan bahawa kitab Bible mengandungi ajaran yang menghina wanita. (http://www.aren.org/prison/documents/women/5/5.pdf)
Elizabeth Cady Stanton berusaha meyakinkan bahawa Bible bukanlah kata-kata Tuhan, tetapi sekadar himpunan tentang sejarah dan cerita yang ditulis oleh kaum lelaki, dan oleh sebab itu wanita tidak memiliki kewajipan moral untuk mengikuti ajaran Bible . Kata beliau:
I do not believe that any man ever saw or talked with God, I do not believe that God inspired the Mosaic code, or told the historians what they say he did about woman, for all the religions on the face of the earth degrade her, and so long as woman accepts the position that they assign her, her emancipation is impossible”[3]

Saya tidak percaya manusia pernah melihat atau bercakap dengan Tuhan, saya tidak percaya Tuhan mengilhamkan kod Musa, atau memberitahu sejarawan apa yang mereka sabitkan mengenai apa yang dilakukan Tuhan ke atas wanita, kerana semua agama di atas mukabumi ini menghina wanita, dan selagi wanita menerima kedudukan yang telah ditetapkan keatasnya, pembebasan wanita adalah mustahil.

FEMINISME DAN PERJUANGAN HAK LGBT

Di era 1970 an, gerakan feminisma seterusnya mengembangkan konsep kesetaraan gender. Menurut takrifan mereka, gender berbeza dengan kelamin.

  • Kelamin (sex) – merujuk kepada anatomi dan biologi.
  • Gender – dipengaruhi oleh social, budaya, agama dan hukum.

Di Amerika Syarikat, gerakan feminisma lesbianisma mula bertapak pada era ini, dan dinamakan gelombang kedua feminisma.[4] Walaupun pada mulanya ada pejuang feminisma yang tidak mengamalkan lesbianisma, memisahkan diri dari gerakan ini, tetapi arus persamaan gender yang ditakrifkan seperti di atas terlalu hebat menyebabkan hampir semua gerakan feminisma sekarang turut memperjuangkan LGBT.

Teori feminisma radikal menyatakan bahawa persamaan hak lelaki dan perempuan adalah termasuk hak sosial dan hak seksual. Jika kepuasan seksual dapat diperolehi dengan perhubungan lelaki-perempuan (heteroseksual) maka perhubungan sesama jenis (homoseksual – gay atau lesbian) adalah hak yang patut diraikan.

Bagi gerakan feminisma, seorang wanita tidak boleh mempunyai kebergantungan hidup kepada lelaki baik dalam soal keperluan hidup, ekonomi, politik hinggalah kepada kepuasan seksual.

Simpati yang berterusan terhadap golongan homoseksual sebenarnya berpunca dari tindak tanduk kekejaman institusi gereja terdahulu terhadap kaum homoseksual. Alat-alat penyeksaan zaman lama yang dikatakan direstui oleh pihak gereja dan masyarakat silam telah didokumentasi di dalam buku Robert Held[5], yang turut digunakan menyiksa pelaku homoseksual.

 

Dilaporkan juga lebih 100,000 pelaku homoseksual ditangkap dan disiksa dalam peristiwa Holocaust (penghapusan etnik Yahudi oleh bangsa Nazi, Jerman)[6]. Sikap kekejaman dari tamadun di Barat ini akhirnya menuntut kebebasan tanpa had terhadap wanita dan homoseksual.

Oleh itu, adalah jelas bahawa tuntutan kebebasan wanita dan homoseksual hanya sesuai pada masyarakat Barat yang mempunyai sejarah penindasan terhadap kedua golongan ini. Islam mengharamkan amalan homoseksual tetapi tidak pernah terdapat dokumentasi penyiksaan terhadap mereka yang mengamalkan pelakuan dosa ini secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

lgbt

PENGARUH FEMINISME DALAM MASYARAKAT ISLAM

Dalam jawapan balas kepada kenyataan Wanita ISMA yang membantah gesaan Joint Action Group for Gender Equality (JAG)[7], sebuah pertubuhan hak asasi wanita di Malaysia yang memperjuangkan kesetaraan gender, yang menggesa agar undang-undang syariah dimasuhkan di Malaysia, JAG telah menyatakan:

Contrary to the perception that liberalism and feminism originate from Western ideals, human rights and women rights movements have grown naturally from the grassroots in many parts of the world. The movement is not dependent on the West.

In fact, the movement has and continues to be active and vibrant outside the West, from villages in India, a rural town in Kuala Lumpur to the capital city of Egypt, Cairo. The movement began organically, evolving on needs and rights in response to the lived realities of women’s lives.”

Berlawanan dengan persepsi yang mengatakan liberalisma dan feminisma berasal dari idea Barat, gerakan hak asasi dan hak asasi wanita telah berkembang secara semulajadi dari golongan akar umbi di kebanyakan bahagian di dunia.  Gerakan ini (JAG) tidak bergantung kepada Barat.

Malahan, gerakan wanita telah dan sentiasa aktif dan hidup di luar dari Barat, dari kampong-kampung di India, di bandar-bandar kecil di Kuala Lumpur hinggalah ke ibu Negara Mesir, Kaherah. Pergerakan ini bermula secara asas, dan berevolusi mengikut keperluan dan hak, sebagai respon kepada reality kehidupan wanita itu sendiri.

ADAKAH BENAR FEMINISME DI DUNIA TIMUR DAN ISLAM TIDAK DIPENGARUHI BARAT?

Muhammad Ariffin bin Ismail[8] melaporkan bahawa sejak tahun 1900-an, gerakan feminisma Barat mulai mempengaruhi sarjana dan pemikir Muslim. Gerakan feminisma dalam masyarakat Muslim yang pertama muncul di Mesir, dengan terbentuknya Al-Ittihad Al-Nisa’i Al-Misri (The Egyptian Feminist Union) pada tahun 1923 yang didirikan oleh Huda Shaarawi.

Walaupun JAG menafikan peranan Barat mempengaruhi gerakan Feminism di Timur, Huda Shaarawi, telah digambarkan melalui pernyataan berikut:

 “With her unique blend of western-style feminism with her own country’s customs, culture, and Egyptian nationalism, Huda Shaarawi influenced millions of Arab women and people all around the world.”[9]

Huda Shaarawi, sekembalinya beliau dari International Woman Suffrage Alliance Congress di Rom dalam tahun 1923, menanggalkan hijab beliau sejurus turun dari keretapi bagi melambangkan kebangkitan feminisma di Mesir12.

Malahan fakta membuktikan bahawa gerakan feminisma ini yang pada mulanya adalah gerakan sekelompok aktivis wanita Barat yang kemudiannya menjadi kajian akademik, telah diberi pengiktirafan dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan mengeluarkan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) yang kini menjadi platform perjuangan setiap gerakan feminisma walaupun di rantau Timur, sedangkan ia berasaskan permasaalahan di Barat.

FEMINISME
(foto menunjukkan gambar Huda Sha’rawi, kanan, bersama Saiza Nabarawi di persidangan di Rom di mana mereka menanggalkan hijab yang biasa dipakai di Mesir)

DANA DARI NEGARA BARAT

Terdapat bukti yang jelas dimana sebahagian negara Barat memberi bantuan dana bagi mengembangkan kajian dan fahaman tersebut dalam masyarakat , contohnya sebagaimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat kepada negara Indonesia.

Dalam sebuah program yang dinamakan  “Indonesian Pesantren Development Program”, sejak tahun 2002, kumpulan pendidik Muslim yang mengendalikan pesantren dan madrasah, dengan dibiayai oleh Biro Pendidikan dan Kebudayaan Amerika Syarikat dibawa 2 kali setahun, selama 3 minggu untuk didedahkan kepada pendidikan berorientasikan Baarat. Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh   Institute on Training and Development (ITD) berpengkalan di  Amherst, Massachusetts. Di dalam laporan mereka dibawah tajuk “Impact on Views of Democracy, Gender, Pluralism, & Secularisme”, di mukasurat 29, laporan menyebut[10]:

From the program sponsors’ point of view, these data are especially interesting because they tell us that the program did indeed have a positive impact on participants’ commitment to democratic and pluralist values. Even keeping in mind the fact that participants in the Pesantren Development Program tend to have a more liberal-minded profile than ordinary Indonesians, the data from the survey on attitudinal change are striking. The data indicate that on the most vexing issues in Muslim political debate – democracy, religious pluralism, and gender – a clear majority of participants in the pesantren program have introduced important new lessons into their school curriculum as a result of their participation in the program.

Dari pandangan penaja, data ini sangat menarik kerana ia memberitahu program ini memang mempunyai impak positif ke atas komitmen peserta kepada nilai demokrasi dan pluralis. Walaupun perlu diperingatkan dengan fakta bahawa peserta Program Pembangunan Pensantren ini lebih cenderung kepada pemikiran liberal dari rakyat Indonesia biasa, data yang dibentangkan amat ketara (memberangsangkan). Data menunjukkan bahawa dalam isu yang menjadi keresahan dalam perdebatan hangat  politik Muslim – sebahagian besar peserta program telah pun memperkenalkan pelajaran baru yang penting dalam kurikulum sekolah merekasebagai dapatan dari penyertaan mereka ke dalam program tersebut.

Bahkan Sister in Islam (SIS) sendiri mendapat bantuan dana dari berbagai agensi dari Barat. Ini sekaligus tidak dapat menafikan agenda Barat ke arah mempromosikan nilai persamaan gender mengikut definisi Barat dalam mencorak ideologi dan halatuju kumpulan feminisma ini yang banyak mempersoalkan tuntutan syariat Islam.

SIS mengasaskan Musawah pada tahun 2007 yang mengumpulkan aktivis feminisma dari 11 negara, dan disokong oleh pertubuhan seperti Oxfam Novib, the Ford Foundation, the Global Fund for Women, the Sigrid Rausing Trust, British High Commission, Canadian High Commission dan Hivos.[11]

MUSAWAH

TOKOH FEMINISME DALAM DUNIA ISLAM

Dalam The Oxford Encyclopedia of Modern Islamic World dinyatakan bahawa “feminisma moden dikenali sejak awal abad 20 meskipun mereka tidak menggunakan istilah tersebut. “

Ideologi feminisma terawal memperjuangkan kesedaran tentang persoalan gender. Tokoh feminis ini termasuk Aisya Tamymuriyah (Mesir), Zainab Fawwaz (Lebanon), Ta’jal Sulthaniyah (Iran),Malak Hifni Naser dan Nabawiyah Musa (Mesir) dan Fame Aliya (Turki).

Bagaimana, sejak sedekad yang lalu, pemikir feminis ini mula menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Feminisma Muslimah yang menyentuh dan mempersoalkan secara langsung perkara asas agama[12].

Diantara pejuang feminisma di dunia Islam:
Nama
Biografi Ringkas
Amina Wadud
Beliau merupakan Profesor Pengajian Islam di Department of Philosophy and Religious Studies di Virginia Commonwealth University, Amerika Syarikat. Penulis buku Women and Al Quran: rereading the sacred text from a women’s perspective (1999), dan Inside the Gender Jihad (2006). Beliau telah menjadi tumpuan masyarakat Islam sedunia apabila mengeluarkan fatwa wanita boleh menjadi imam salat bagi lelaki. Fatwa ini direalisasikan apabila Amina Wadud berkhutbah dari atas mimbar dan mengimamkan salat Jumaat bagi sekumpulan masyarakat Islam di Amerika yang terdiri daripada lelaki dan perempuan di Sundaram Tagore Gallery, New York Pada 18 Mac, 2005.
Rifaat Hassan
Riffat Hassan adalah seorang ahli teologi dan tokoh pemikir feminisme Islam berbangsa Pakistan-Amerika. Beliau mendapat pendidikan awal dari sekolah mubaligh Kristian iaitu Cathedral High dan kemudiannya menyambung pengajian di St. Mary’s College di Durham University, England dalam bidang bahasa Inggeris dan kefalsafahan. Beliau telah mendapat Ph.D. dari Durham University. Selepas menamatkan pengajian, beliau telah menjadi pensyarah di University of Punjab di Lahore dan pernah berkhidmat di Kementerian Penyebaran dan Informasi Pakistan. Beliau telah berhijrah ke Amerika Syarikat dan kini, menjawat jawatan profesor di Jabatan Pengajian Agama di University of Louisville. Seperti tokoh-tokoh pemikir Islam Liberal yang lainnya, beliau juga menganjurkan idea pentafsiran al-Qur’an secara hermeneutik yang menekankan maksud moral ajaran agama (ethical criterion). Keterangan lanjut tentang idea-idea Riffat yang mendukung fahaman Islam Liberal dan feminisme boleh dirujuk pada dua buah buku beliau iaitu Are Human Rights Compatible with Islam? dan Religious Human Rights in The Qur’an.[13]

Fatimah Naseef
Penulis Saudi yang menulis “Women in Islam: A discourse in Right and Obligation”

Fatimah Mernissi
Pensyarah kajian sosial Univeristy of Muhammad V Morocco yang menulis “Beyond the Veil” (1975), “Women and Islam ; An Historical and Teological Enquiry” dan “The Veil and The Male Elite” (1987)

Hidayaet Tuskal
Aktivis dari Turki dan Pengarah The Capital City of Women Platform.

Aziza al Hibri
Pensyarah the TC Williams School of Law, University of Richmond , yang menulis buku buku “Hypatia: a Journal of Feminist Philosophy”

Shaheen Sardar Ali
Pensyarah undang-undang di the University of Warwick, UK yang menulis buku “Gender and Human Rights in Islam and International Law: Equal before Allah, Unequal before Man?” (2000)

Irsyad Manji
Pejuang lesbianism yang menulis buku Allah, Liberty and Love (2011) dan The trouble of Islam Today. Peribadi beliau dan kontroversi yang menyelubungi beliau telah dihuraikan oleh saudari Nazariyah Yahya dalam lamanweb Wanita ISMA.[14]

Musdah Mulia
Prof. Dr. Siti Musdah Mulia[15], adalah Pengarah di UIN (Universiti Islam Negeri) Jakarta. Beliau, dikenali sebagai aktivis Jaringan Islam Liberal menyelia Rancangan Kompilasi Hukum Islam (Counter Legal Draft) yang dimajukan kepada Kementerian Agama  Indonesia yang memohon perubahan seperti :

  • Pasal 3 ayat 1 : Asas perkahwinan adalah monogami dan perkahwinan poligami adalah tidak sah dan harus dinyatakan batal secara hukum.
  • Pasal 9 : Ijab-kabul boleh dilakukan oleh isteri –suami atau sebaliknya suami–isteri.
  • Pasal 54 : Perkahwinan berbeza agama antara muslim atau muslimah dengan non-muslim disahkan.
  • Pasal 59 : Talak tidak dijatuhkan oleh pihak laki-laki, tetapi boleh dilakukan oleh suami atau isteri di depan sidang pengadilan agama.
  • Pasal 88 ayat 7a : Masa iddah bukan hanya dimiliki oleh wanita tetapi  juga untuk lelaki. Masa iddah bagi lelaki adalah seratus tiga puluh hari.
  • Pasal 8 ayat 3 : Bahagian warisan anak laki-laki dan wanita adalah  sama

Draf tersebut bagaimanapun telah ditolak oleh Parlimen dan Kementerian Agama Republik Indonesia.

Beliau juga dikenal sebagai aktivis Islam Liberal dan kebebasan beragama daripada kumpulan ICRP (Indonesia Conference of Religions and Peace) ini berkata, “Tidak ada perbezaan di antara lesbian dengan non-lesbian. Dalam pandangan Tuhan, manusia dihargai hanya berdasarkan ketaatannya.” Dan menulis buku “Bias Gender dalam Perspektif Islam”

GERAKAN FEMINISME DI MALAYSIA

Di Malaysia, dengan latarbelakang Islam sebagai agama rasmi dan terdapat pelbagai institusi yang mentadbir hal-hal berhubung Islam dengan struktur yang teratur, usaha wanita dalam tahun 50 an dan 60 an lebih terdorong dalam memperjuangkan kemerdekaan dan memastikan pendidikan kepada anak-anak. Tidak terdapat suatu keperluan mendesak dalam aspek kesamarataan gender kerana Islam yang dipraktik di Malaysia tidak menghalang pendidikan wanita Muslim.

Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, walaupun dinafikan oleh JAG, pengaruh Baratlah yang mula mencorak pemikiran wanita di Malaysia agar mempersoalkan hukum hakam agama, hanya semata-mata ia tidak selari dengan falsafah Barat. Dasar langit terbuka, dan dasar tidak mendiskriminasikan wanita dalam peluang pendidikan memberi peluang kepada ramai pelajar Muslimah cemerlang menimba ilmu ke luar negara.

Oleh kerana itu, tidak hairan jika perjuangan berbentu kesamarataan gender yang dipelopori oleh organisasi seperti SIS, hanya muncul di awal tahun 1990-an.

 

Sisters In Islam (SIS)

Sisters In Islam (SIS) dibentuk dalam tahun 1988 dan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan pada tahun 1993 di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad.

Bermula dengan sebuah perkumpulan sahabat yang terdiri dari professional di bidang guaman, aktivis dan ahli akademik, SIS sejak awal kemunculannya menjadi sebuah gerakan feminisme yang paling aktif dan vocal di Malaysia.

Barisan pengasas awal SIS terdiri dari Zainah Anwar; seorang jurnalis, Salbiah Ahmad; pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Rashidah Abdullah; pengasas bersama kepada Asian-Pacific Resource and Research Centre for Women (ARROW), Rose Ismail; penulis kanan akhbar The New Straits Times, Norani Othman; mantan Profesor dan mantan Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Askiah Adam iaitu seorang jurnalis, Aminah Wadud iaitu ahli akademik dan mantan pensyarah UIAM dan Sharifah Zuriah Aljefri pula ialah seorang penggiat seni. Norani Othman, Rashidah Abdullah, Rose Ismail, Sharifah Zuriah dan Zainah Anwar masih lagi aktif dalam barisan pimpinan SIS sehingga kini. Sementara, Amina Wadud dan Askiah sudah tidak menganggotai SIS lagi, namun mereka masih tetap terlibat dan komited memberi sokongan kepada SIS.[16]

Menariknya, salah seorang pengasas, iaitu Salbiah Ahmad yang merupakan bekas pengasas SIS telah keluar dari badan tersebut dan di dalam bukunya yang bertajuk “ Critical Thoughts on Islam , Rights and Freedom in Malaysia ( 2007 ) mukasurat 8 dan 9:

“Salah satu sebab untuk saya meninggalkan dan tidak lagi menyertai SIS pada tahun 1997 , pertubuhan yang saya tubuhkan pada tahun 1987 adalah kerana isu tudung. Dalam pertemuan pertama dengan wakil Yayasan Ford ( Ford Foundation) , salah seorang anggota SIS telah membuka tudung yang saya pakai. Anggota SIS tersebut tidak mahu mana-mana ahli SIS dipandang oleh pembiaya SIS adalah mereka yang “jenis bertudung” (tudung type) , tidak progresif , fundamentalis dan obscurantist ( golongan yang kabur ) . Saya terasa dihina dengan dengan tindakan ahli SIS tersebut dan saya memaklumkan hal tersebut kepadanya di dalam pertemuan tersebut. Tetapi ahli SIS tersebut tidak berubah dan bagi saya tindakan tersebut tidak menghormati pilihan saya ( untuk bertudung)”[17]

SIS di dalam laman web menyatakan bahawa objektif mereka adalah :

  • Menegak dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realit wanita.
  • Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki.
  • Membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar mengenai kesaksamaan,keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam.

 

Untuk mencapai objektif-objektif tersebut, SIS telah memulakan aktiviti dalam empat bidang :

  • Penyelidikan dan tafsiran sumber-sumber teks Islam.
  • Advokasi untuk pembaharuan dasar dan undang-undang
  • Meningkatkan kesedaran orang ramai dan pendidikan awam.
  • Perancangan strategik dan pembentukan dasar

 

Walaubagaimanapun, kritikan utama terhadap SIS ialah mereka bukan didokong oleh golongan yang benar-benar mempelajari Islam mengikut disiplin Islam secara teratur (munazzam). SIS cenderung menyalahkan golongan ulama yang dikatakan tradisionalis dan didakwa memonopoli tafsiran teks Islam terutama al-Qur`an. SIS juga menuduh bahawa hukum Syariah digubal secara tidak benar, bias gender dan di bawah pengaruh warisan budaya patriarki. [18]

Idea dan gagasan SIS banyak dicedok dari tokoh liberal lain, contohnya Rose Ismail,  dalam artikel Returning To The Root of Islam, memetik pandangan Riffat Hassan yang mendakwa bahawa, umat Islam hari ini memakai satu  bentuk Islam sahaja, iaitu Islam yang didominasi oleh Arab Saudi yang  menganjurkan versi Islam yang begitu sempit. Menurut Rifaat lagi, agama seperti yang diwarisi oleh Arab Saudi tersebut sebenarnya didominasi oleh sebuah masyarakat Islam yang disifatkannya sebagai Syariah-minded Muslims (orang Islam yang berfikiran Syariah) yang sentiasa menekankan bahawa undangundang itu adalah jiwa atau inti kepada ajaran Islam.

Beberapa pandangan SIS, konsisten menongkah arus ajaran Islam yang syumul walaupun Pengarah Eksekutifnya telah bertukar 3 kali iaitu Zainah Anwar, Dr Hamidah Merican dan Cik Ratna Osman. Antara isu-isu yang dibangkitkan:

Mempersoalkan keadilan undang-undang hudud ke atas wanita(19)
SIS wishes to reiterate our stand that hudud law is unconstitutional and unenforceable. It violates universal principles of Human Rights and is discriminatory against women. Islam teaches the spirit of universal love within the community and emphasises the importance of repentance and rehabilitation of the wrong-doers – not the imposition of severe punishments. 

 

Bersama JAG Membantah Pesalah Sumbang Mahram Disebat(20)
Diskriminasi terhadap wanita beragama Islam. Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan menjamin kesetaraan dan kebebasan dari diskriminasi atas dasar agama dan gender. Maka, sebarang undang-undang yang menghukum wanita atas dasar agama melanggar prinsip antidiskriminasi ini.  Tambahan pula, Kod Prosedur Jenayah dan Peraturan-Peraturan Penjara jelas melarang hukuman sebat ke atas wanita, tidak kira umur  

 

Menyokong kebebasan menukar agama bagi Muslim(21)
Dalam kenyataan medianya, Sisters In Islam (SIS) bertanya bagaimana Muslim menuntut kebebasan, yang mahu menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk memasuki agama itu tetapi dalam masa sama tidak membenarkan penganutnya keluar dari agama tersebut. Pengarah program SIS, Suri Kempe menerangkan bahawa NGO tersebut tidak menggalakkan umat Islam untuk murtad, sebaliknya memperjuangkan kebebasan meninggalkan agama bagi mereka yang tidak lagi mempercayainya. “Islam bukanlah agama jalan sehala,” kata Suri. 

 

Menyokong peserta Muslim menyertai pertandingan ratu cantik dan mempertikaikan sistem fatwa di Malaysia (22)
Sisters in Islam (SIS) has described the procedure for legislating fatwas as “un-Islamic” and “undemocratic”. The Islamic group questioned how gazetted fatwas “have the automatic force of law without going through the legislative process”, and described these rulings as a “tool to undemocratically pass laws that infringe on our fundamental liberties”

KEDUDUKAN WANITA DALAM ISLAM

Sudah acapkali dinyatakan bahawa,Islam amat menghargai wanita, yang mendapat hak sebagai seorang isteri, ibu yang dihormati, hak mewarisi harta dan hak yang sama dengan lelaki dalam mendapat keampunan dan pahala yang besar. Wanita disebut berselang-seli di dalam al Quran

Dalam surah al Ahzab ayat 33:

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orangorang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orangorang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”.

Dalam surah an-Nahlu ayat 97:

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”.

Dalam surah  at-Taubah ayat 71:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Memadailah dinyatakan disini sebuah hadis Rasulullah SAW yang menentang ‘social patriachy” atau dominasi kaum lelaki dari zaman pra Islam yang merendahkan martabat wanita:

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah merasa belum menyampaikan nasihatnya kepada perempuan, maka beliau pergi kepada kaum perempuan untuk memberikan nasihat dan ajaran serta menyuruh mereka bersedekah. Ibnu Juraij bertanya : “Apakah seorang pemimpin berhak melakukan perbuatan demikian dalam memberikan peringatan kepada kaum perempuan? Rasulullah menjawab : Hal itu adalah hak mereka, jika demikian  tidak ada sebab bagi pemimpin untuk tidak melakukan perbuatan tersebut”

Jika pejuang feminisma mengakui hakikat Al-Quran memperakui peranan wanita, kenapakah mereka membantah ayat-ayat lain? Mereka menolak arahan dan aturan yang dianggap  tidak selari dengan gayahidup ketamadunan Barat, seperti undang-undang Syariah. Sedangkan al-Quran telah berpesan

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

KESIMPULAN

  1. Gerakan feminisma di Malaysia adalah berasaskan kepada permasaalahan tamadun Barat seperti revolusi Perancis dan ketidakadilan institusi gereja di zaman pertengahan. Walaupun cuba dinafikan, tetapi bukti yang ada menunjukkan penglibatan dan sokongan pihak tertentu dalam menjayakan agenda Barat dalam mencairkan identiti keIslaman sesebuah negara dan bangsa. Oleh itu tidak keterlaluan jika disimpulkan ideologi feminisma sebagai sebuah pintu masuk bagi melahirkan Liberalisasi Islam mengikut kerangka Barat.
  2. Barisan tokoh feminisma Muslim dipertikaikan kerana mereka mengkritik tanpa mengikut disiplin pengkajian Islam yang teratur hukum-hukum yang mempunyai nas qat’ie seperti yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Hadith serta Ijmak Ulama. Bersadurkan gelaran dan pangkat seperti Profesor Kajian Islam yang dianugerahkan oleh universiti-universiti Barat, neraca kebeasan Barat digunapakai sebagai asas perjuangan mereka. Perlantikan mereka, tidak lebih dari penyamaran atau ‘camouflage’ kerana pendapat mereka yang selari dengan definasi Islam Liberal[23] yang digunapakai oleh ketamadunan Barat.
  3. Hukum Syariah sebaliknya jika ditolak adalah satu bentuk diskriminasi ke atas wanita, kerana dalam sistem Syariah, peruntukan yang berbeza antara lelaki dan wanita, sesuai dengan peranan dan sifat masing-masing, adalah untuk kepentingan dan keharmonian sesebuah keluarga. Saya memetik definisi yang dilakarkan oleh Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pensyarah kanan USIM[24] iaitu “ equality means equal in accessing formal opportunity to achieve fundamental interest in living a life for community and individual, and equal in securing and achieving the greatest happiness in life to community and individual, which end up with equal dignity and justice to all as the outcome” and not “ putting things at the same place, giving something of the same amount, to different people”

 


Kesetaraan bermaksud setara dalam memiliki peluang bagi mencapai kepentingan asas dalam melayari kehidupan bermasyarakat atau individu, juga kesetaraan dalam memastikan dan mencapai kegembiraan dalam kehidupan bermasyarakat atau individu, yang akhirnya sampai kepada matlamat akhir yang sama iaitu kesetaraan maruah dan kesaksamaan kepada semua, BUKANNYA meletakkan sesuatu di tempat yang sama, dan memberi sesuatu dalam jumlah yang sama, kepada individu berbeza.

RUJUKAN

  • [1] Philip J. Adler. World Civilisation, Belmont, Warworth,2000;289
  • [2] Muhammad Ariffin bin Ismail. Gerakan Feminisme, Persamaan Gender dan pemahaman Agama. Panel Jawatankuasa Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
  • [3] http://www.aren.org/prison/documents/women/5/5.pdf
  • [4] http://sitemaker.umich.edu/lesbian.history/lesbian_feminism
  • [5] Robert Held. Inquisition. Florence: Bilingual Publisher, 1985.
  • [6] http://www.homocaust.org/
  • [7] http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2013/06/26/jag%E2%80%99s-response-to-wanita-isma/
  • [8] Muhammad Ariffin bin Ismail. Gerakan Feminisme, Persamaan Gender dan pemahaman Agama. Panel Jawatankuasa Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  • [9] http://www.amazingwomeninhistory.com/huda-shaarawi-egyptian-feminist/
  • [10] http://www.itd-amherst.org/pdfs/hefner_evaluation_ip.pdf
  • [11] http://www.musawah.org/sites/default/files/2009%20GM%20Programme.pdf
  • [12] Muhammad Ariffin bin Ismail. Gerakan Feminisme, Persamaan Gender dan pemahaman Agama. Panel Jawatankuasa Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
  • [13] http://www.jais.gov.my/rnd/2012/julai/KertasKerja_4.pdf
  • [14] http://wanitaisma.net/v2/?p=4380
  • [15] http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/penerbitan/ISI_DALAM_LIBERAL.pdf
  • [16] http://www.jais.gov.my/rnd/2012/julai/KertasKerja_4.pdf
  • [17] http://www.irfi.org/articles/articles_1001_1050/malaya_critical_thoughts_on_isla.htm
  • [18] http://www.jais.gov.my/rnd/2012/julai/KertasKerja_4.pdf
  • [19] http://www.malaysiakini.com/letters/178010
  • [20] http://www.malaysiakini.com/news/233216
  • [21] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sis-kebebasan-beragama-termasuk-menukar-agama
  • [22] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/23/procedure-for-legislating-fatwas-questioned/
  • [23] http://kurzman.unc.edu/liberal-islam/
  • [24] http://www.ijbhtnet.com/update/index.php/archive/10-abstract/132-vol-2-no-2-march-2012abstract21
TENTANG PENULIS
PROF MADYA DR RAFIDAH HANIM MOKHTAR
Deputy Dean Academic and Research, Faculty of Medicine and Health Science, USIM
Chief Information, Biro Wanita ISMA
Vice President II, I-Medik
Social links:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

clear formSubmit